Sunday, August 22, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-6

Selamat sejahtera. Pada minggu yang ke-6 ini kami telah membincangkan satu lagi topik yang tidak kurang pentingnya dalam muzik tradisional Malaysia iaitu, Makyung dan Kompang.

Makyung

Makyung dikategorikan sebagai bentuk seni lakon sama seperti Menora, Mekmulung, dan Jikey. Bentuk Seni Lakon yang sangat kuno berasaskan lagenda dan mitos. Ia mempunyai asas yang sama tetapi dibentuk melalui identiti dan keperluan dramatik yang berbeza. Menggunakan pelakon manusia dan mengutamakan dialog, tarian, muzik vokal serta instrumental iaitu mengisahkan penceritaan. 

Makyung berasal dari patani yakni |Kerajaan Melayu Lama ( Hikayat Patani). Ia kemudiannya tersebar secara meluas di Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Riau Lingga, Indonesia. Makyung seterusnya dipindah ke Kelantan dan dibawa ke Kedah. Di bawah naungan Sultah Mohamad IV, Kampung Temenggung, Kota Bahru, Tengku Temenggung Ghaffar bertanggungjawab, di bawah naungan beliau. Kesannya, sistem latihan, muzik, dan kostum diperhalusi secara sistematik. Muzik tersebut terus berkembang dan bertukar daripada Tradisi Istana ke Tradisi Rakyat ( Folk Theater).

Persembahan makyung lebih kepada tujuan Ritual. Ia dipersembahkan melalui main puteri untuk tujuan penyembuhan penyakit, persembahan sebagai sembah guru, aras panggung sama dengan aras tanah (persembahan tidak berlaku di atas pentas). Lantai panggung didirikan beberapa kaki dari atas tanah, beratap dan ruang berlakon di tengah-tengah panggung. Pemuzik dan pelakon yang berperanan sebagai korus duduk di tepi lantai (Theater in the round). 

Antara lagu Makyung termasuklah Menghadap Rebab yang mengiringi nyanyian dan tarian Pak Yung sebagai simbol penghormatan kepada rebab (Semangat makyung). Di samping itu, Kijang Mas turut dimainkan. Ia merupakan lagu selepas Menghadap Rebab, dinyanyikan oleh kumpulan korus dalam keadaan gembira, dan dinyanyikan oleh Pak Yung dan Mak Yung untuk menceritakan sesuatu kepada korus. Makyung turut memainkan Lagu Sindung. Lagu tersebut dinyanyikan oleh Pakyung apabila memberikan arahan kepada peran.
Sesebuah persembahan Lagu Makyung mempunyai mode yang tersendiri. Contohnya Menghadap Rebab, semua pelakon memberi hormat kepada alat muzik rebab. Lagu Ela, menyampaikan cerita dan berita. Mengulit Raja Nak Tidur, membangkitkan perasan halus. Jembar atau mengambul, membangkitkan perasaan sedih. Timang Welu atau Kijang Mas, pergerakan berjalan. Sedayung Pakyung, kuasa luar biasa bersifat sakti (mengubah atau menjelma rupa). Sang atau penyudah, menyudahi sesuatu persembahan.

Alat muzik utama dalam persembahan Makyung termasuklah, sepasang gendang, sepasang tetawak, dan sebuah rebab 3 tali. Tambahan alat seperti serunai, geduk, dan canai. Rebab memainkan melodi utama dan kategori kordofon sebab ia bertali. Berbadan kayu bentuk segitiga, muka badan menggunakan kulit perut lembu. Bonggol kecil dipanggil 'SUSU' diperbuat daripada lilin lebah yang berfungsi meredam bunyi.

Bentuk muzik Makyung ditentukan dalam sistem gongan (pusingan jangka masa tertentu yang ditentukan oleh pic gong). Ia dikawal oleh Tetawak. Sistem gongan pula ialah 8bit, 16bit, dan 32bit. Irama dalam muzik Makyung pula menggunakan 4 timber iaitu, 'pak', 'duh', 'cak', dan 'ting'. cara permainan menggunakan gaya meningkah (interlocking). Hampir semua lagu makyung bertempo perlahan. Melodi dinyanyikan oleh seorang penyanyi diringi alat muzik rebab. Melodi tersebut berhias dan kompleks. Tekstur dalam muzik Makyung ialah Hererofoni.

Kompang

Kompang berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat (Timur Tengah). Kompang juga dikenali sebagai Dufu, Duff, Tar atau Bendir. Di indonesia, kompang dipanggil sebagai 'Terbang' atau 'Rebana'. Ia kemudiannya dibawa oleh pedagang Arab pada Kurun ke-13 Masihi. Kompang diklasifikasikan sebagai Membranofon di mana fungsinya untuk meraihkan perkahwinan, majlis keraihan Islam, Maulidurasul, dan berkhatan dalam masyarakat Melayu. dalam masyarakat terkini, ia digunakan untuk menyambut ketibaan pemimpin, dan untuk acara-acara     rasmi.

Sejarah kompang dapat dibahagikan kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan bahawa bentuk kompang sama dengan hadrah yang terdapat di negara Arab. Pendapat kedua pula menyatakan bahawa lirik lagu yang dimainkan selalunya dalam bahasa Arab, contohnya Selawat Memuji Rasulullah SAW. Permainan kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke Nusantara. Ia digunakan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Dipercayai permainan ini menjadi ikutan masyarakat tempatan dan seterusnya berkembang hingga kini. Kemudian permainan kompang berkembang ke Tanah Melayu akibat imigrasi masyarakat Jawa (Abdul Latif Ali: 1980:12)

Dalam persembahan kompang, terdapat empat perkara yang amat dititik beratkan. Ini termasuklah pakaian, tidak boleh melentangkan kompang, tidak boleh melambungkan kompang, dan tidak boleh meletakkan arah kulit mukz kompang ke atas lantai. Terdapat empat jenis permainan kompang iaitu, Kompang Hadari (Negeri Perak), Kompang Johor/Jawa, Kompang Eizhar (Negeri Selangor), dan Kompang Kelalang (Negeri Melaka). Kompang menghasilkan dua bunyi iaitu 'pak' dan 'bung'. bunyi 'pak' terhasil apabila bahagian tengah kompang dipalu dengan tapak tangan sambil jari tangan terbuka. Bunyi 'bung' pula terhasil apabila bahagian tepi permukaan kompang atau 1/3 daripadanya dipukul dengan jari. Manakala semua jari semasa memukul mestilah tertutup.

Terdapat 3 jenis pukulan atau paluan kompang. Ia termasuklah pukulan melalu (memainkan rentak asas), pukulan menyilang (memainkan rentak silihan atau up beat kepada pukulan melalu), dan pukulan meningkah (menjadi penghias rentak yang dimainkan paluan antara pukulan melalu dan menyilang). dalam permainan kompang, pukulan 'Mula' merupakan pukulan yang memainkan sesebuah lagu. Pukulan seterusnya ialah pukulan 'Lagu', dan pukulan 'Mati' untuk mengakhiri lagu. Terdapat tiga rentak kompang iaitu rentak inang, rentak masri, dan rentak asli. 

Untuk penjagaan kompang, kompang haruslah dikendurkan permukaannya setelah siap bermain. Permukaan kompang juga harus ditegangkan sebelum memulakan permainan dengan menggunakan sedak. Kompang yang basah haruslah dijemur untuk memastikan ia lebih tahan lama. Semasa meletakkan kompang, pastikan muka kompang betindan dengan muka kompang yang lain. ini untuk mengelakkan kerosakan pada permukaan kompang. 


Di akhir kuliah, semua pelajar telah diberikan peluang untuk bermain kompang sebagai aplikasi daripada pembelajaran tersebut. Suasana sangat meriah dengan pelbagai gelagat dan yang pasti semua pelajar telah mendapat satu lagi ilmu yang amat berguna dan diharapkan ia akan dapat terus memertabatkan muzik Makyung dan Kompang ini sebagai satu simbol tradisi di negara kita yang kekal tanpa ditelan zaman. Sekian.

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar KumpA

Blog Pelajar KumpB

Blog Pelajar KumpC

SMP2252 JUSTERSAN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template