Sunday, August 29, 2010

JURNAL REFLEKSI MINGGU KE-7

Selamat sejahtera dan salam 1 Malaysia. Jurnal refleksi kali ini adalah berdasarkan kepada pembentangan daripada dua kumpulan. Antara tajuk yang dibincangkan termasuklah 'Sejarah Perkembangan dan Pengaruh Muzik Tradisional di Malaysia' oleh kumpulan pertama.

Melihat kepada sejarah perkembangan muzik tradisional di Malaysia, ia bermula sejak perkembangan manusia dari Benua Asia ke Kepulauan Pasifik iaitu Melayu Porto dan Melayu Deutro (3000 S.M). Didapati seruling merupakan alat muzik purba pertama yang ditemui dan digunakan oleh orang-orang primitive Homo Saphiens. Ia diperbuat daripada tulang binatang dan mula berkembang di sekitar lembah Mesaptomia (digunakan untuk upacara keagamaan). Namun, ada pendapat mengatakan bahawa alat muzik jenis membranofon (alat yang diketuk/dipukul) sebagai alat muzik yang pertama ditemui. Walau bagaimana pun, tidak ada penjelasan sahih yang menentukan kebenaran kenyataan tersebut. Perkara ini terletak kepada sejarah itu sendiri. 

Didapati bahawa terdapat pengaruh luar dalam perkembangan muzik tradisional di Malaysia. Antaranya termasuklah pengaruh dari India dan Islam. Di samping itu, terdapat juga pengaruh kuat dari negara jiran iaitu Indonesia. Ia berlaku apabila pendatang Indonesia yang terdiri daripada masyarakat Jawa, Bugis, Aceh, dan Sumatera telah bertapak di Selatan Semananjung iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, dan Selangor. Mereka telah membawa kesenian ke tempat-tempat berkenaan termasuklah wayang kulit, kuda kepang dan sebagainya.

Antara  pengaruh lain ialah daripada negara Thai. Secara ringkasnya, hampir 500 tahun negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia telah dipengaruhi oleh politik dan kebudayaan daripada negara Thai. Tidak hairanlah pada masa kini kita melihat sedikit persamaan budaya persembahan dari segi alat muzik, patung-patung, dan kostum yang digunakan. Contohnya persembahan Wayang Nang Talung Thai.

Sabah dan Sarawak pula menunjukkan sedikit pertalian kebudayaan daripada negara Filipina dan Indonesia (Kalimantan). Disebabkan faktor geografi yang terdiri daripada kepulauan, ia telah membentuk satu lagi subidentiti dunia Melayu di nusantara ini.


Zikir

Kumpulan kedua pula telah membincangkan satu lagi jenis muzik yang dikenali sebagai 'Zikir'. Pembentangan kumpulan ini dimulakan dengan tayangan tiga jenis zikir yang jenis pembawaannya adalah berbeza. Dari segi bahasa, zikir bermaksud mengingati. Manakala dari segi istilah pula zikir bermaksud mengingati Allah S.A.W. dan ia boleh diucapkan walau dia mana sahaja berada dengan cara-cara dibolehkan Syarak seperti perbuatan atau niat hati. Dengan erti kata yang lain, zikir juga adalah satu rangkaian iman yang diperintahkan agar kita melakukannya setiap saat. Dengan mengingati Allah, seseorang itu boleh melakukan suruhannya dan meninggalkan laranganNya.

Sejarah perkembangan Zikir di Tanah Melayu bermula seiringan dengan kedatangan Islam iaitu sekitar abad ke-7 Masihi. Kedatangan Islam di Tanah Melayu menyebabkan masyarakat Melayu mengamalkan cara hidup dan Syariah Islam. Kini, zikir terus berkembang dan turut menjadi salah satu daripada muzik tradisional di Malaysia.

Zikir boleh dikategorikan sebagai monofoni kerana ia bergerak dalam satu melodi iaitu vokal tanpa iringan kord. Terdapat pembaharuan dalam zikir bergantung kepada pembawaan masing-masing. Contohnya di Kelantan, satu kumpulan lelaki akan menyanyikan zikir secara unison dengan pukulan rebana besar yang digantungkan secara menegak dan kulitnya menghadap penyanyi.

Kesimpulannya, setiap yang wujud semestinya mempunyai sejarah tersendiri. Ada baiknya jika setiap lapisan masyarakat di Malaysia menghargai seni dan budaya yang sudah wujud sejak sekian lama. Dengan harapan muzik tardisional ini akan terus segar berkumandang di kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.










0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar KumpA

Blog Pelajar KumpB

Blog Pelajar KumpC

SMP2252 JUSTERSAN Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template